Aktiviti Operasi Koperasi
Pusat Perubatan COOP Medical Centre

Pihak koperasi juga mencuba maju setapak lagi dengan menubuhkan pusat perubatan sendiri dengan nama COOP Medical Centre di Medan Tuanku Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan pada waktu tersebut pada 06 April 2010 dengan harapan mampu menyediakan perkhidmatan perubatan pada kadar mampu milik untuk ahli koperasi dan masyarakat di sekitarnya. Selaras dengan penubuhan COOP Medical Centre ini, koperasi mengambil langkah berani dengan membeli bangunan Klinik Sambhi 4 tingkat lengkap dengan kemudahan lif pada harga RM8.2 juta. COOP Medical Centre ini adalah sebuah klinik yang menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar (harian) dan rawatan sakit puan serta ibu mengandung (bersalin). COOP Medical Centre ini mempunyai 8 buah bilik privasi dan 9 buah bilik biasa yang boleh memuatkan 14 buah katil. Selain daripada itu, terdapat juga kemudahan untuk bilik penyusuan bayi, bilik steril, bilik bedah ( delivery suite) dan stor. Coop Medical Centre ini turut menyediakan pusat jagaan harian untuk pesakit lumpuh.

Seiring dengan penubuhan tersebut, pihak koperasi melancarkan Skim Khairat Kesihatan untuk kemudahan para anggotanya. Dengan maksud lain, anggota koperasi boleh mendapatkan khidmat rawatan kesihatan pada harga minimum dan mampu membantu mengurangkan bebanan kos rawatan. Pihak koperasi sendiri telah meyalurkan sejumlah dana untuk melengkapkan kemudahan perubatan dan perkhidmatan dalam usaha memperkembangkan lagi pusat perubatan ini kepada masyarakat setempat di sekitar lembah Klang ini.

Pihak koperasi menubuhkan satu anak syarikat iaitu One Life Care Sdn Bhd khas untuk menguruskan segala aktiviti dan operasi di COOP Medical Centre ini. Pihak koperasi melantik beberapa doktor bertauliah serta tenaga mahir dan dipantau oleh ahli lembaga koperasi yang dilantik untuk memperkemas struktur perkhidmatan perubatan serta berharap mampu mencatatkan keuntungan kepada koperasi.

Namun pada penghujung tahun 2016, koperasi terpaksa menghentikan perkhidmatan COOP Medical Centre ini akibat kegagalan anak syarikat koperasi mencatat keuntungan seperti yang diharapkan. Antara faktor penyumbang adalah disebabkan tempat yang tidak strategik, kos-kos perkhidmatan dan ubat-ubatan yang meningkat, kos penyelenggaraan bangunan serta banyak kekangan untuk mendapatkan pelbagai lesen berkaitan.

Comments are closed.